Menteri Besar Sambut Baik Kerajaan Campuran BN- Pas Di Perlis

KANGAR 10 Mac – Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man menyambut baik dan bersetuju dengan cadangan mewujudkan kerajaan campuran antara Barisan Nasional (BN) dan Pas di negeri-negeri yang ditadbir kedua-dua parti tersebut.

Katanya, kerajaan campuran BN dan Pas merupakan satu cadangan yang positif ke arah mengorak langkah kerjasama antara dua parti terbesar orang Melayu Islam itu.

“Jika cadangan mengenai perkara ini (kerajaan campuran) adalah benar, maka saya kira ia adalah satu yang baik. Bagaimanapun saya perlu bertemu terlebih dahulu dengan kepemimpinan tertinggi UMNO untuk mendapatkan perincian,” katanya di sini, hari ini.

Selepas menjalinkan kerjasama rasmi antara UMNO dan Pas, kedua-kedua parti itu terus mengorak langkah apabila UMNO berhasrat mewujudkan kerajaan campuran dikenali sebagai kerajaan Penyatuan Ummah di empat buah negeri yang kini ditadbir BN dan Pas.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata, hasrat itu telah dibincangkan dengan Pas pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas kedua-dua parti, baru-baru ini dan ia masih di peringkat cadangan sebelum tindakan lanjut.

Selain Perlis, negeri yang dikuasai BN adalah Pahang manakala Pas pula di Terengganu dan Kelantan selain perbezaan kecil kerusi antara kedua parti itu dengan Pakatan Harapan (PH) di Perak serta Kedah.

Sebelum itu, Ketua Penerangan UMNO negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim telah menyatakan kesediaan BN untuk berkongsi kerusi dengan Pas dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pada masa ini, BN menguasai sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 15 kerusi di Perlis manakala Pas pula dua kerusi dan Bebas satu.

PH pula mempunyai tiga kerusi DUN itu masing-masing di Sena, Kuala Perlis dan Indera Kayangan serta Parlimen Kangar.

Sementara itu, Pengerusi Pertanian dan Asas Tani negeri, Nurulhisham Yaakob turut menyambut baik cadangan tersebut dan sedia memberi laluan kepada wakil Pas sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) jika diminta berbuat demikian.

Manakala Pesuruhjaya Pas negeri, Mohd. Shukri Ramli menyerahkan segala keputusan berhubung perkara berkenaan kepada Pas Pusat. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.