MCA Hormat Keputusan Dewan Tertinggi BN

KUALA LUMPUR 8 Mac – Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong menghormati keputusan Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) mengenai tiadanya konsensus dicapai tentang pembubaran BN.

Sehubungan dengan itu, jelasnya, ekoran resolusi pembubaran BN itu dibawa sendiri oleh MCA, beliau akan membawa perkembangan terbaharu itu untuk pengetahuan Ahli Jawatankuasa Pusat MCA yang akan bersidang pada 17 Mac depan.

“Kita sedar dalam konsep BN sejak Perikatan lagi ia melalui proses yang dipanggil konsensus, jadi dalam keadaan tiga parti masih lagi dalam BN, apa juga mengenai masa depan dan hala tuju sebarang keputusan tidak boleh dilakukan secara sepihak (unilateral).

“Pada hari ini kami berpeluang untuk membentangkan usul (pembubaran) tetapi seperti sedia maklum mestilah ia direstui rakan-rakan komponen yang lain, jadi dalam keadaan sebarang keputusan mestilah dalam konsensus, jadi hari ini tiada konsensus yang dicapai mengenai cadangan oleh MCA,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Menara Dato’ Onn di sini hari ini.

Sementara itu, menurut Ka Siong, MCA tidak mempunyai sebarang masalah untuk bekerjasama dengan mana-mana parti termasuk Pas memandangkan ia boleh membawa kepada kepentingan rakyat.

“Pendirian MCA jelas kita mesti pertahankan semangat BN dan juga pertahankan Perlembagaan Persekutuan. Apa sahaja kerjasama antara UMNO dan Pas itu adalah mengenai UMNO sebagai parti Melayu bersama Pas.

“Selagi tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, kita setuju. Dalam jangka masa ini kita nampak, ia adalah kerjasama mengenai bangsa dan agama, kami tidak ada masalah. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.