Bukan Melayu Tidak Perlu Bimbang Kerjasama UMNO-Pas

IPOH 8 Mac – Orang bukan Melayu tidak perlu bimbang kerjasama di antara UMNO-Pas yang tidak akan mengetepikan kaum lain jika berjaya membentuk kerajaan.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, Islam tidak mengajar penganutnya bersikap tidak adil terhadap orang bukan Islam malah dalam konteks negara majmuk di Malaysia, semua kaum saling memerlukan.

Menurutnya, keadilan pemerintahan Islam terhadap orang bukan Islam dapat dilihat di negeri yang diperintah oleh Pas seperti di Kelantan dan Terengganu.

“Walaupun berbeza agama, Islam tidak mengajar kita untuk berlaku tidak adil kepada bukan Islam. Jangan lihat kerjasama UMNO dan Pas merupakan satu kekuatan baharu yang akan menganak tirikan orang bukan Melayu, itu silap.

“Tengok di Kelantan dan Terenggau, Pas jadi kerajaan, dia tak menganak tirikan orang Cina, elok saja, malah orang Cina di sana cakap Kelantan lagi. Begitu juga di Kedah dan Terengganu.

“Saya berpendapat orang bukan Melayu tak perlu khuatir, tak perlu takut atau bimbang, jaminan kita Islam mengajar kita berlaku adil kepada semua orang,” katanya dalam sidang akhbar di sini.

Menurut Saarani, Pas sebagai sebuah parti yang islamik pernah bekerjasama dengan parti bukan Melayu termasuk DAP, begitu juga UMNO bekerjasama dengan parti bukan Melayu dalam Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, sehubungan itu, kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bahawa kerjasama di antara UMNO dan Pas sebagai satu ‘pengisytiharan perang’ ke atas
masyarakat bukan Melayu tidak perlu dihiraukan.

Katanya, kenyataan itu bertujuan meracuni pemikiran orang bukan Islam supaya menentang kerjasama UMNO-Pas.

“Guan Eng sebenarnya takut gelombang kebangkitan rakyat disebabkan kerjasama UMNO-BN seperti yang berlaku dalam PRK Parlimen Cameron Highlands, DUN Semenyih dan akan berlaku dalam PRK Rantau.

“Guan Eng bukan takutkan Islam, dia takut kalah pilihan raya. Guan Eng dan DAP yang rasis, dia tuduh kita seperti mana apa yang dia fikirkan” katanya. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.