Momentum Positif UMNO Harus Dikembangkan Dalam Kompenan BN

KEPALA BATAS, 7 Mac – Penganalisis politik tempatan, Azizi Safar berkata penstukturan semula UMNO dilihat semakin baik dan momentum ini harus dikembangkan kepada komponen di dalam Barisan Nasional (BN).

Jelasnya, UMNO adalah salah satu daripada tiga parti yang membentuk BN dan menjadi antara tunjang kekuatannya.

“UMNO bukan ‘parti di atas’ BN kerana UMNO adalah sebahagian daripada BN. Kerjasama UMNO dan Pas pula telah dilihat memberi kesan positif kepada orang Melayu yang dianggap sebagai penyatuan ummah tanpa meminggirkan kemajmukan yang ada dalam negara ini,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Katanya, mesyuarat Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN) yang bakal diadakan pada Jumaat ini diharapkan akan dapat menyelesaikan apa juga perkara yang melanda parti.

“Sememangnya kerjasama antara UMNO dan Pas dalam menubuhkan jawatankuasa bersama adalah sangat baik kerana ia demi masa depan ummah. Dalam masa yang sama, konsensus dalam BN juga perlu dimantapkan dalam gabungan ahlinya khususnya antara MIC dan MCA.”

Jelas beliau, Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan mendapat maklumbalas positif selepas kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands dan PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

“Maklum balas positif ini perlu dibawa dan terus dikembangkan termasuklah dalam berdepan dengan PRK DUN Rantau yang bakal berlangsung tak lama lagi.”

“PRK ini pula amat penting memandangkan calonnya adalah Timbalan Presiden yang memangku tugas-tugas Presiden. Saya yakin sekiranya momentum positif dan sokongan yang tidak berbelah bahagi dari BN dan kerjasama dengan Pas maka tentunya tidak mustahil untuk BN menang dalam PRK DUN Rantau.

“Apabila setiap perkara dapat diselesaikan bersama, sudah pasti ia memberi gambaran yang baik kepada kaum Cina dan India untuk kembali memberi kepercayaan kepada BN,” ujar beliau lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.