PRK Rantau : Sesiapa Pun Boleh Menang… ‘Best Man Win’ – Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR, 5 Mac – Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, beliau akan bertanding dan berpolitik secara matang bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau di Pilihan Raya Kecil (PRK) nanti.

Jelas beliau, siapapun yang dipilih oleh rakyat, individu itulah yang akan mewakili mereka kelak dalam menyuarakan permasalahan rakyat di Sidang DUN.

Best man win… jadi tidak perlulah melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh peraturan. Sebab itu kita harus bertanding secara politik matang.

“Saya akan bekerja kuat untuk mempertahankan kerusi ini. Semua pihak juga harus bekerja kuat dan berhati-hati untuk berhadapan dengan kerajaan kerana sudah pasti kerajaan akan mempergunakan segala kuasa dan jentera yang mereka ada untuk berkempen apatah lagi komposisi kaum di Rantau bukan satu jaminan kepada sesiapa pun untuk menang,” ujar beliau ketika ditanya wartawan selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa Khas UMNO dan Pas.

Tambah Mohamad, beliau juga pernah menegaskan tidak akan sesekali lari kerana Rantau adalah kampung dan tempat beliau membesar.

PRK Rantau bakal diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan oleh Mohamad Mohamad, untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 November lalu yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi DUN Rantau, terbatal dan tidak sah.

Pada 29 November tahun lalu, Mohamad memfailkan rayuan terhadap keputusan berkenaan.

Calon PKR bagi DUN Rantau pada PRU-14, Dr S Streram merangkap Naib Ketua PKR Cabang Rembau, memfailkan petisyen pada 23 Mei tahun lalu untuk membatalkan keputusan SPR yang mengisytiharkan Mohamad memenangi kerusi DUN Rantau. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.