Percaya Pas Diserang Bagi Menutup Isu Siasatan Projek Terowong Sasar Laut Di Pulau Pinang

KUALA LUMPUR 2 Mac – Pemimpin Pas percaya serangan bertali arus yang dihadapi parti itu ketika ini adalah cubaan untuk menutup isu siasatan terhadap projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan membangkitkan perkara itu memandangkan wujud dakwaan beberapa pemimpin DAP kononnya dinamakan dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung projek terowong dasar laut itu.

Katanya, rakyat perlu mendapatkan penjelasan sebenar projek tersebut setelah lebih setahun siasatan SPRM dijalankan.

“Saya percaya, serangan bertali arus yang dihadapkan kepada Pas sebenarnya adalah cubaan untuk menutup pekung isu projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

“Beberapa tahun lalu, saya telah membangkitkan isu ini dan saya telah disaman oleh bekas Ketua Menteri, Lim Guan Eng pada masa itu. Kini apa yang telah saya bangkit sejak awal dulu semakin menampakkan kebenarannya,” katanya dalam laman Facebook beliau hari ini.

Semalam, satu laporan polis telah dibuat oleh SPRM berhubung pendedahan Penganalisis politik, Raja Petra Kamarudin mengenai kebocoron kertas siasatan membabitkan projek tersebut yang didakwa melibatkan beberapa pemimpin DAP.

Nasrudin berkata, Pas menuntut Kerajaan Negeri Pulau Pinang pimpinan DAP menyediakan butiran lengkap pelan asal projek tersebut termasuklah jumlah sebenar kos projek, adakah ditender secara terbuka serta terma-terma yang dipersetujui bersama pemaju.

Nasrudin berkata, rakyat tidak boleh dinafikan hak untuk mengetahui status atau hasil siasatan skandal projek terowong dasar laut tersebut.

“Justeru projek ini turut melibatkan kepentingan rakyat disebabkan terdapat dakwaan yang menyatakan bahawa kaedah pembayarannya membabitkan pertukaran tanah dan menjejaskan ekosistem persekitaran,” katanya.- UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.