Siti Kasim Lepas, Papagomo Didakwa?

KUALA LUMPUR 1 Mac – Peguam Negara bukan sahaja perlu bertindak adil malah perlu dilihat adil.

Begitu penegasan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang mempersoalkan perbezaan layanan Peguam Negara, Tommy Thomas terhadap dua kes melibatkan peguam kontroversi, Siti Zabedah Kasim atau Siti Kasim dan Exco Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo.

Beliau merujuk kes mengacung jari tengah melibatkan Siti Kasim pada tahun 2016 dan dakwaan bahawa Papagomo mencedera dan mengaibkan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman baru-baru ini.

Kata Khairy, kedua-dua kes Papagomo dan Siti Kasim diletakkan di bawah seksyen yang sama, iaitu Seksyen 509 Kanun Keseksaan namun ketika dakwaan terhadap Siti Kasim digugurkan, Peguam Negara meneruskan pendakwaan terhadap Papagomo.

“Saya tidak mempertahankan tindakan Papagomo tapi saya nak tahu kenapa tindakan Peguam Negara tidak konsisten.

“Perbuatan yang dilakukan oleh Siti Kassim pada dua tahun lalu tersebut telah berjaya dirakam dalam bentuk video dan gambar. Bermakna terdapat asas untuk kesnya dibawa kepada perbicaraan mahkamah namun akhirnya atas arahan Jabatan Peguam Negara, kes tersebut digugurkan,” katanya melalui hantaran dalam akaun Facebook miliknya semalam.

Papagomo didakwa di mahkamah hari ini atas tuduhan mengaib dan mencederakan Syed Saddiq dalam satu insiden ketika hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, dua minggu lepas. Beliau mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu.

Mengulas lanjut, Khairy berpendapat tindakan dwistandard Tommy boleh menyebabkan rakyat terus hilang kepercayaan dan memberi imej buruk kepada sistem undang-undang di Malaysia.

“Kenapa ada dwistandard antara dua individu ini? Perkembangan ini akan melihatkan terdapatnya unsur pendakwaan terpilih oleh Jabatan Peguam Negara,” katanya. – UTUSAN ONLINE