Syed Saddiq Dikatakan Cedera Tisu Badan, Asyraf Wajdi Ucap ‘Syabas’ Kepada Peguam Negara

KUALA LUMPUR 28 Feb. – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mengucapkan ‘syabas’ kepada Pejabat Peguam Negara kerana bertindak pantas terhadap Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo, yang didakwa mencederakan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Asyraf Wajdi pagi ini berada di Kompleks Mahkamah Kajang untuk memberikan sokongan moral kepada Wan Muhammad Azri yang didakwa atas pertuduhan Seksyen 323 (mendatangkan kecederaan) dan juga Seksyen 509 (mengaibkan).

Jelasnya, pendakwaan itu adalah atas arahan daripada pejabat Peguam Negara kerana Syed Saddiq telah dilaporkan mengalami kecederaan tisu badan setelah dikatakan dipegang atau dipeluk bahunya oleh Papagomo semasa hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih pada 16 Februari lalu.

“Mengikut peguam yang juga Exco Pemuda UMNO Nik Saiful Adli, Seksyen 509 biasanya melibatkan wanita atau pondan yang diaibkan tetapi kali pertama melibatkan jantina berbeza.

“Apapun syabas kepada Pejabat Peguam Negara yang begitu pantas ambil tindakan,” katanya dalam laman Facebook beliau hari ini. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.