UMNO Dan PAS Sepakat Desak Pihak Berkuasa Segerakan Siasatan Lelaki Hina Nabi


SEMENYIH, 27 Feb – Pergerakan Wanita UMNO Malaysia bersama Muslimat PAS mendesak agar pihak berkuasa menyegerakan siasatan dan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik akaun Facebook Foo Sing Wai, berikutan tindakannya menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri, Saidatina Aishah.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, tindakan lelaki tersebut memuat naik status menghina Nabi junjungan Rasulullah sangat mengguris perasaan umat Islam dan menimbulkan kemarahan.

“Perbuatan ini jelas boleh disabit di bawah kesalahan jenayah mengikut Seksyen 298A (1) (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum lima tahun.

“Kami melihat perbuatan tersebut bukan satu perkara yang enteng tapi satu perkara yang sangat serius dan tidak boleh dimaafkan,” ujar beliau.

Sementara itu, Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, beliau mahu pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan status terkini siasatan kepada rakyat Malaysia terutama kepada umat Islam.

“Umat Islam sedang marah dan beremosi kerana perbuatan tersebut. Kami juga mendesak Peguam Negara agar menyegerakan pertuduhan terhadap kes ini.

“Kami muslimat PAS tidak akan teragak-agak untuk berkumpul secara aman di Kuala Lumpur sekiranya perkara ini tidak diambil tindakan. Justeru, lelaki yang menghina Nabi Muhammad SAW di Facebook harus ditahan semula dan dijatuhkan hukuman segera,” ujar beliau.

Berhubung kempen bersama yang dilakukan oleh Wanita UMNO dan Muslimat PAS menjelangnya hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih pada 2 Mac ini, Noraini amat berpuas hati dengan gerak kerja yang dilaksanakan.

Malah jelas beliau, wanita komponen Barisan Nasional (BN) turut memberikan kerjasama yang amat baik bagi mendekati pengundi bukan Melayu.

“Setakat hari ini saya amat berpuas hati dengan kerjasama yang ditunjukkan semua pihak termasuklah dari komponen dan parti mesra BN seperti KIMMA.

“Saya yakin, kerja keras ini akan ditingkatkan lagi sehinggalah tiba hati pengundian,” ujar beliau kepada media selepas menyertai program Kor Mumajat Akifi Semenyih anjuran Pergerakan Wanita UMNO Negeri Selangor dengan kerjasama Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor, semalam.

Noraini sebelum itu menyertai Wanita UMNO dan muslimat PAS dalam bacaan Yassin dan zikir bagi memohon kemenangan calon BN di PRK Semenyih. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.