PAS Sanggup Perkukuh Kerjasama Dengan UMNO Demi Penyatuan Ummah

SEMENYIH, 27 Feb – Pesuruhjaya PAS Selangor, Ustaz Salehin Mukhyi berkata, PAS sanggup memperkukuh kerjasama dengan UMNO bagi memastikan perpaduan ummah dan perjuangan demi agama, bangsa dan negara.

Jelasnya, UMNO dan PAS juga harus terus mengukuhkan perpaduan bagi berdepan segala fitnah juga maki hamun Pakatan Harapan (PH) yang mahu menggagalkan kerjasama antara kedua-dua parti ini.

“Yang penting kita harus berhadapan dengan PH tanpa beremosi dan bijak. Siapa pun tidak pernah terfikir UMNO dan PAS mampu bekerjasama dan sebab itulah bila ini terjadi, Perdana Menteri (Tun Dr. Mahathir Mohamad) dan ‘Perdana Menteri Tepi’ (Datuk Seri Anwar Ibrahim) mula gelabah di PRK Semenyih ini… itu yang umumkan mansuh tol.


“Entah siapa yang nak pakai waktu malam… tak faham siapa nasihat dan beri strategi begitu,” bidasnya dalam Program Sembang Santai dalam kempen BN di Kampung Sentosa malam tadi.

Beliau turut menerangkan berkaitan ciri-ciri mumafik yang menjadi ukuran mengapa pemilihan seorang pemimpin itu amat penting.

“Saya nak beritahu, ciri-ciri orang munafik ini ada tiga iaitu satu, bila bercakap kamu bohong… tak tahulah siapa yang bohong… PM ke atau ‘PM tepi’ yang bohong… yang kedua, bila berjanji kamu suka mungkir… janji bulan bintang tapi tak laksana.. sebab itu sebelum berjanji kena kaji… sebab itu kedudukan otak atas daripada mulut…

“Yang ketiga, bila diberi amanah kamu khianat. Itu tanda munafik,” jelas beliau.

Tambah Salehin, jika pemimpin itu seorang yang amanah, tidak berbohong dan tidak memungkiri janji, sudah pasti negara yang baik akan dapat dibina.

“Kalau kaki fitnah ramai tak apalah, sabar sahaja dengan tukang maki hamun yang cuba merenggangkan kita ini… semuanya iblis yang tidak perlu dilayan.

“Kita sudah menang di Cameron Highlands dan PAS akan terus sokong di sini kerana kalau BN menang di sini ia juga kemenangan untuk PAS,” jelas beliau lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.