Pengundian Awal PRK Semenyih Bermula

SEMENYIH, 26 Feb – Dua pusat mengundi mula dibuka pada 8 pagi ini bagi membolehkan 858 daripada keseluruhan 951 pengundi awal menunaikan hak mereka dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Sejumlah 761 daripada mereka layak mengundi di pusat mengundi Dewan Serbaguna Kem Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih manakala 97 lagi layak berbuat demikian di Dicress Room, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.

Sebahagian lagi iaitu 93 pengundi awal terdiri daripada anggota polis telah mengundi secara pos, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),

Pusat mengundi awal di Dewan Serbaguna Kem Batalion 4 PGA Semenyih dibuka dari 8 pagi hingga 5 petang manakala pusat mengundi di Dicress Room, IPD Kajang dibuka dari 8 pagi hingga 2 petang.

PRK DUN Semenyih menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan Muhammad Aiman Zainali, Zakaria Hanafi (Barisan Nasional), Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia) dan calon Bebas Kuan Chee Heng.

Kerusi Semenyih kosong susulan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57, pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung.

Proses pengundian awal itu akan disaksikan oleh setiap ejen calon yang bertanding pada PRK ini selain pemerhati pilihan raya daripada wakil-wakil organisasi serta pertubuhan bukan kerajaan yang dilantik SPR.

Kertas-kertas undi awal itu tidak akan dikira di tempat mengundi esok, sebaliknya peti-peti undi awal akan disimpan di lokap-lokap balai polis. Pada hari pengundian 2 Mac (Sabtu ini), peti-peti undi awal itu akan dibawa ke pusat pengiraan undi berkelompok yang ditetapkan SPR untuk pengiraan.

DUN Semenyih mempunyai 54,503 pemilih berdaftar merangkumi 53,520 pengundi biasa, 951 pengundi awal dan 32 pengundi tidak hadir luar negara. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.