KenapaTak Saman Orang Hina Islam?

HULU LANGAT 21 Feb. – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mempersoalkan sikap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof yang hanya berdiam diri apabila agama Islam diperlekehkan sesetengah pihak di negara ini.

Jelasnya, sebagai seorang menteri yang menjaga kepentingan agama Islam, Mujahid seharusnya berada di barisan hadapan tetapi rakyat semakin resah kerana isu tersebut seakan-akan tidak mendapat pembelaan sewajarnya.

“Kenapa beliau tidak saman orang yang menghina Islam, menghina nabi, memperlekehkan agama, dan orang yang menghina Yang di-Pertuan Agong. Kenapa senyap dan diam, kalau ada kenyataan pun hanya bersifat selamat.

“Hari ini dia memberi amaran pula apabila ada kena mengena dengan DAP. Beliau harus jujur dan bersikap adil dalam apa juga yang melibatkan kepentingan Islam. Mujahid lebih baik fokus kepada tanggungjawab asasi daripada setiap perkara hanya mempertahankan diri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai Program Ziarah Kasih di Kampung Sesapan Batu Minangkabau, Beranang di sini hari ini.
Yang hadir sama, calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Zakaria Hanafi.

Semalam, Mujahid memberitahu bahawa beliau tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan saman terhadap individu yang cuba menabur fitnah kepada dirinya dan Tabung Haji.- UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.