Kemenangan BN Di PRK Semenyih Penting Untuk Bawa Senario Baru Politik Negara

SEMENYIH, 21 Feb – Ketua UMNO bahagian Permatang Pauh Datuk Zaidi Md Said berkata, Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih ini mampu membawa senario baru dalam politik negara ini.

Jelas beliau, hasil tinjauan yang dilakukan mendapati pengundi sudah berani menyuarakan secara terang-terangan menolak kepimpinan Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini mereka sokong.

“Selepas melakukan ‘walkabout’ di kawasan Semenyih ini saya melihat sentimen positif… saya pernah melalui beberapa kali PRK di Permatang Pauh dan pernah pergi ke banyak PRK, ini adalah keadaan yang sangat berbeza apabila pengundi sendiri yang berkata, ‘Datuk jangan risau, kali ini memang kami akan undi BN’.

“Inilah senario di sini sekarang. Dulu pengundi simpan dalam hati tetapi kali ini mereka zahirkan lebih awal… kita tidak perlu lagi merayu tetapi mereka sendiri yang menzahirkan keinginan untuk melakukan perubahan. Maka saya yakin, PRK Semenyih ini akan bawa senario baru kepada politik negara kita ini,” ujar beliau kepada UMNO-Online selepas menziarahi rumah-rumah pengundi di DUN Semenyih.

Tambah beliau, satu perkara yang mungkin kerajaan sedar adalah, PRK Semenyih menjadi satu penanda aras kepada penerimaan orang Melayu terhadap kepimpinan Tun Dr. Mahathir dan kerajaan PH.

“Sekiranya PPBM kalah di PRK ini, maka ini satu isyarat yang jelas kepada kerajaan agar meletakkan kembali kepentingan Melayu Islam dan Bumiputera itu dalam pemerintahan hari ini.

“Kalau mereka terus berkeadaan seperti sekarang, percayalah Melayu akan bangkit secara terang-terangan untuk menentang kerajaan yang ada hari ini,” jelas beliau lagi. – MediaUMNO

**********

Jom ikuti aktiviti-aktiviti calon Barisan Nasional Pilihan Raya Kecil N.24 Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Zakaria Hanafi di www.facebook.com/ZH4N24 dan www.instagram.com/zakariahanafi_n24/

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.