Pemuda UMNO Bersolidariti Demi Papagomo, Syed Saddiq Guna Kapasiti Menteri


HULU LANGAT 20 Feb. – Pergerakan Pemuda UMNO dari empat negeri hari ini tampil menyatakan solidariti terhadap Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo yang ditahan reman selama tiga hari sehingga siang nanti.

Naib Ketua Pemuda UMNO Selangor, Amin Mohd. Shukor berkata, himpunan aman itu juga akan disusuli dengan laporan polis oleh saksi yang menyaksikan sendiri kejadian Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang mendakwa dikasari dan diugut di Kajang baru-baru ini.

“Kita berasa kecewa terhadap Syed Saddiq yang menggunakan kapasitinya sebagai menteri dengan mengambil kesempatan mengenakan tahanan politik terhadap Papagomo.

“Malah, kita juga difahamkan papagomo akan ditahan lanjut selama dua minggu berhubung insiden tersebut.

“Jadi, kita akan membuat tekanan berdasarkan dua seksyen iaitu Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan polis palsu dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam sidang akhbar di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, di sini malam tadi.

Kira-kira 200 pemuda UMNO dari Selangor, Kedah, Johor dan Pahang hadir menyatakan sokongan tersebut.

Syed Saddiq sebelum ini mendakwa dicaci dan dimaki oleh sekumpulan penyokong yang memakai baju Barisan Nasional serta dicekak leher semasa berjalan ke tempat letak kereta sekitar pukul 11.05 pagi selepas Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih di Dewan Seri Cempaka, Saujana Impian. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.