Sijil Palsu: MB Disaran Mohon Maaf Secara Terhomat

JOHOR BAHRU 19 Feb. – UMNO Johor meminta Menteri Besar, Datuk Osman Sapian tampil membuat permohonan maaf dengan tertib dan ikhlas kepada Bangsa Johor kerana berbohong mengenai latar belakang pendidikan beliau.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, permohonan maaf dengan hanya bercakap dengan media yang didakwa terserempak dengan beliau di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) tidak boleh diterima.

Ini kerana, katanya, dalam isu yang begitu besar membabitkan kredibiliti dan integriti seorang pemimpin tertinggi sebuah negeri, adalah lebih molek Menteri Besar itu membuat permohonan maaf dengan tertib dan beradab.

“Di manakah letaknya tertib seorang pemimpin yang beragama Islam dan sebagai bangsa Melayu yang kaya dengan adab dan sopan apabila membuat permohonan maaf dalam keadaan sedemikian, ia bukan contoh baik daripada seorang berjawatan Menteri Besar.

“Adakah YAB Menteri Besar, orang yang kononnya sering melaungkan tentang integriti menganggap permohonan maaf kepada Bangsa Johor di atas pembohongan yang dibuat berhubung pendidikannya sebagai sesuatu yang remeh?

“UMNO Johor kesal dengan sikap acuh tak acuh YAB Menteri Besar membuat permohonan maaf kepada Bangsa Johor,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Tambahnya, UMNO Johor difahamkan, latar belakang pendidikan Menteri Besar itu bukan dibuat tanpa pengetahuannya kerana selepas beliau dan barisan Exco mengangkat sumpah, poster memaparkan kelayakan pendidikan mereka turut dikongsi kepada pihak media, malah Portal Rasmi Kerajaan Negeri Johor memuat naik latar belakang pendidikan Menteri Besar sebelum dikemas kini dan ditukar kepada pencapaian Kerjaya & Perniagaan.

Hasni berkata, jika tidak mempunyai kelulusan tinggi tidak mengapa sekiranya seseorang pemimpin itu memberikan perkhidmatan yang baik dan mengambil tahu kepentingan rakyat selain dilengkapi sifat-sifat baik yang lain serta diterima rakyat.

Maka, menurutnya, mereka tidak perlu malu dengan tahap pendidikan yang dimiliki kerana ramai individu terkenal di dunia yang berjaya juga tidak menamatkan pengajian.

“Namun, apabila pemimpin berbohong dan pembohongan itu sudah terbongkar, maka memohon maaflah dengan molek dan seikhlasnya. Biarpun ini adalah Malaysia Baharu, namun Bangsa Johor tetap berpegang teguh dengan caranya dan dengan adab dan sopannya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.