PRK Semenyih: Fenomena Marah Dan Rindu Melanda Anak Muda

SEMENYIH, 19 Feb – Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Farhan Khairuddin berkata, jelas dapat dilihat kini fenomena marah dan rindu sedang melanda anak muda.

Kata beliau, tidak mustahil sekiranya fenomena marah kepada Pakatan Harapan (PH) dan rindu kepada kepimpinan Barisan Nasional (BN) akan dizahirkan dalam bentuk undi di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

“Ketika BN menang PRU (Pilihan Raya Umum) 12 dan 13 dulu sokongan pun tidak sehebat sekarang ini.

“Bagi saya ini adalah satu referendum yang ditunjukkan oleh anak muda kepada PH dan ini juga dapat dilihat dengan kehadiran ramai orang muda di Speaker Corner. Ini satu mesej yang baik,” jelas beliau kepada UMNO-Online ketika ditemui selepas menyertai calon BN Zakaria Hanafi dalam kempen PRK DUN Semenyih di Pasar Malam Bandar Tasik Kesuma di sini.

Ujar Farhan, anak muda kini berasa marah dan sudah bosan dengan janji manis PH yang tidak menunaikan janji, sering menipu dan pelbagai isu lain yang memberi kesan kepada kehidupan mereka.

“Sewaktu saya berjalan di Semenyih ini dengan memakai baju BN, ramai sahaja anak muda yang menegur dan berkata kali ini BN boleh menang.

“Jadi, saya rasa ini adalah satu fenomena yang kerinduan dan amarah akan dizahirkan oleh anak muda dalam bentuk undi… marah kepada PH dan rindu kepada pemerintahan BN,” tambah beliau lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.