PH Jangan Bohong Kata Tiada Duit, Kembalikan RM450 BSH Kepada Golongan Bujang


KUALA LUMPUR, 19 Feb – Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mendesak kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengembalikan bantuan RM450 kepada golongan bujang di negara ini.

Dalam hantaran di Facebooknya, Khairy turut mengingatkan kerajaan PH agar tidak perlu berbohong lagi kononnya kedudukan kewangan negara dalam keadaan kritikal.

“Jika lihat peruntukan Belanjawan 2019 berjumlah RM316.55 bilion, jumlahnya adalah jauh lebih besar dari peruntukan tahun 2018 yang dibuat oleh BN (Barisan Nasional) iaitu RM282.25 bilion.

“Anggaran hasil negara bagi tahun 2019 juga, sekalipun jika tidak mengambil kira RM30 bilion dividen khas Petronas adalah hampir sama dengan kutipan pada tahun 2018 iaitu sekitar RM230 bilion.

“Jadi tidak timbul langsung kerajaan tiada duit. Lagipun, sampai bila kerajaan PH nak guna alasan yang sama? Rakyat pun dah bosan,” bidasnya.

Khairy berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng hari ini bahawa pemberian Bantuan Sara Hidup (BSH) kepada golongan bujang akan dikembalikan seperti mana pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kategori bujang berjumlah RM450 ketika pentadbiran kerajaan BN dahulu.

Menurut Guan Eng, buat permulaan, jumlah BSH kategori bujang ini adalah RM100 dan akan dibuat suatu kajian untuk menentukan jumlah yang sepatutnya.

Justeru, desak Khairy lagi, PH tidak perlu membazir dengan kajian demi kajian yang baharu kerana Timbalan Pengerusi PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin pasti arif mengenai perkara yang berkaitan kos sara hidup disebabkan pernah menjadi pengerusi bagi jawatankuasa tersebut dahulu.

“Kita memang tahu kerajaan PH adalah kerajaan ujikaji, kerajaan eksperimen atau kerajaan masih dalam kajian, tetapi bagi bantuan BR1M kategori bujang ini, ianya telah terbukti membantu mereka yang memerlukan sejak ianya mula diperkenalkan pada tahun 2013.

“Tidak perlu lagi membazir masa atau sumber untuk membuat kajian baru. Tan Sri Muhyiddin, Timbalan Pengerusi PH sendiri pastinya lebih tahu tentang perkara ini kerana beliau sendiri pernah menjadi Pengerusi Jawatankuasa Khas Kabinet bagi menangani kenaikan kos sara hidup pada tahun 2014 ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri.

“Jadi rasanya tidak perlu lagi dibuat kajian tentang perkara ini,” tegasnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.