Terima Kasih PAS – Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR 18 Feb. – UMNO mengucapkan terima kasih kepada Pas berhubung kenyataan rasminya untuk terus membantu Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Pendirian tersebut telah menggagalkan usaha Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr. Mahathir Mohamad yang didakwa cuba mencetuskan kesangsian terhadap kerjasama UMNO-Pas yang ternyata mendapat sokongan besar majoriti umat Islam.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berharap pejuang-pejuang dalam dua parti berkenaan terus tabah dengan cabaran yang menimpa kerana mereka membawa wadah perjuangan didambakan oleh rakyat.

“Buat pejuang UMNO dan Pas di semua peringkat, jangan sesekali hilang fokus! Walaupun belum ada kesepakatan rasmi antara keduanya namun kerjasama yang terjalin kini amat didambakan oleh rakyat.

“Kita terus kukuhkan persefahaman dan kerjasama atas dasar Islam dan penyatuan ummah demi membela nasib rakyat yang semakin terhimpit lantaran pelbagai penipuan dan mainan politik berterusan Pakatan Harapan. Moga Allah SWT merahmati perjuangan kita semua,” katanya dalam hantaran dalam akaun Facebook beliau hari ini.

Pas semalam menafikan tidak akan menyokong UMNO dalam PRK DUN Semenyih sebagaimana didakwa oleh Dr. Mahathir.

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Pas akan tetap menyokong UMNO namun, tahap komitmen serta kadar penglibatan parti itu berbeza keadaannya pada PRK Parlimen Cameron Highlands lalu, atas faktor pertandingan di peringkat DUN. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.