Gerak Kerja Pas Dan UMNO Berjalan Seperti Biasa – Pengarah Pilihan Raya Pas Selangor

SEMENYIH, 17 Feb – Pengarah Pilihan Raya Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata akar umbi jentera parti berkenaan bersama dengan UMNO masih bergerak seperti biasa pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Pada masa yang sama beliau turut memberi jaminan bahawa undi yang diperoleh calon Pas pada pilihan raya umum (PRU) yang lalu dikekalkan serta akan terus ditingkatkan dalam usaha membantu kemenangan Barisan Nasional (BN).

“Ada jawatankuasa bersama antara Pas dengan UMNO yang akan terus mesyuarat bersama dan malam ini mesyuarat akan dipengerusikan bersama Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Takiyudin Hasan.

“Tidak dapat sebarang arahan… Diperingkat bawah tadi saya ronda jentera Pas dan UMNO bekerjasama macam biasa. Kita memperoleh 6,966 undi pada PRU lalu… kita cuba mengekalkan undi berkenaan dan ditambah lagi dengan harapan pengundi Pas akan keluar mengundi dan memilih BN,” katanya.

Beliau berkata demikian di Pasar Malam Jenaris, di sini, hari ini.

Terdahulu sebelum itu beliau turut serta pada sidang media Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang mengadakan walkabout di pasar malam berkenaan.

Beliau turut memaklumkan pihaknya sedang menjadualkan sekurang-kurang beberapa pimpinan tertinggi akan turun pada PRK berkenaan. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.