Pas Yakin BN Mampu Rampas Semula Semenyih

KOTA BHARU 15 Feb. – Pas yakin Barisan Nasional (BN) mampu merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih daripada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN tersebut nanti.

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, gelombang perubahan rakyat di Semenyih jelas dapat dilihat terutamanya pengundi muda yang memberi sambutan luar biasa ketika Datuk Seri Najib Tun Razak hadir membuat lawatan ke sana.

Beliau berkata, Pas sebagai rakan pembangkang akan memberi sokongan padu kepada calon BN, Zakaria Hanafi, 58, dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Semenyih, sebagaimana komitmen di PRK Parlimen Cameron Highlands bulan lalu.

“Saya tengok satu gelombang sebagaimana diterjemah di Cameron Highlands, malah kehadiran Najib sendiri di Semenyih dapat smbutan luar biasa anak muda, saya fikir ini satu perubahan ditunjuklan jelas para pengundi, tidak mustahil peluang BN raih kemenangan agak besar cuma persaingan semgit (jika) satu lawan satu.

“Pas tidak bertanding jadi kita akan sokong UMNO, kita sama-sama pembangkang ini kita tidak akan berbalah,” katanya selepas menjadi ahli panel dalam Forum Murabbi Ummah di Dataran Warisan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini malam tadi.

Beliau berkata, Pas mengerahkan jentera partinya bekerjasama malah semasa perisytiharan calon BN semalam Setiausaha Agung Pas telah turun, begitu juga dua Naib Presiden iaitu Datuk Iskandar Abdul Samad dan Idris Ahmad dijangka akan hadir semasa penamaan calon pada Sabtu ini.

PRK DUN Semenyih diadakan berikutan kematian penyandang kerusi DUN tersebut, Allahyarham Bakhtiar Mohd Nor dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akibat serangan jantung pada 11 Januari lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke14 (PRU 14) yang lalu, Bakhtiar menang 23,428 undi menewaskan penyandang kerusi itu, Datuk Johan Abdul Aziz dari BN (14,464 undi); calon Pas, Mad Shahmiour Mad Kosim (6,966 undi) dan S. Arutchelvan mewakili Parti Sosialis Malaysia (PSM) (1,293 undi). UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.