Tajaan Syarikat Judi: PH Tidak Sensitif

KUALA LUMPUR 14 Feb. – Penjelasan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengenai tajaan rombongan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun ke Turki mengundang lebih banyak kecaman.

Pendedahan bahawa rombongan yang dikatakan bertujuan untuk mengajar pihak polis cara membanteras judi haram itu ditaja oleh syarikat nombor ramalan, Da Ma Cai tidak berjaya meredakan keadaan sebaliknya membuat isu itu lebih hangat kerana kerajaan dilihat tidak sensitif dengan perasaan umat Islam.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, adalah tidak wajar kerajaan membiarkan sebuah syarikat judi menaja lawatan sebuah institusi awam yang bertanggungjawab menjaga keamanan negara.

“Nampaknya kerajaan Pakatan Harapan (PH) khususnya Guan Eng langsung tiada perasaan sensitif terhadap hukum Islam dan sentimen rakyat.

“Apakah tindakan ini menepati prinsip tadbir urus kerajaan yang baik apabila sebuah syarikat swasta dibiarkan menaja sebuah organ kerajaan yang mampu mencetuskan polemik konflik kepentingan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Selasa lalu, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan kunjungan Mohamad Fuzi bersama pegawainya ke Turki bukan untuk tujuan peribadi kerana ditaja oleh Lembaga Pengarah Totalisator Malaysia bagi memberi pendedahan kepada pegawai polis Dir+-aja Malaysia (PDRM) untuk belajar cara membanteras judi haram dari negara lain.

Guan Eng pula hari ini menegaskan Kementerian Kewangan tidak pernah meluluskan lawatan itu kerana ia diluluskan Lembaga Pengarah Totalisator Malaysia yang merupakan syarikat di bawah kementerian tersebut manakala sumber kewangan bagi lawatan berkenaan ditaja oleh Da Ma Cai. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.