Selepas Timbalan Menteri Luar, Akademik MB Johor Pula Dipertikai

KUALA LUMPUR 8 Feb. – Selepas cerita ‘sijil palsu’ Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya berbahang sampai ke United Kingdom (UK), timbul pula berita lebih kurang serupa melibatkan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian.
Kali ini, orang ramai meragui kelayakan Osman yang mendakwa mempunyai ijazah dan diploma Perakaunan dari Universiti Pertanian Malaysia yang kini dikenali sebagai Universiti Putra Malaysia (UPM).

 

“Warganet mula persoal betul ke tidak Tok Man (Osman) ini sambung belajar di UPM? Ikut sumber sahabat terdekat Tok Man pula, dia belajar sampai STPM (Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia) saja?

“Maklumat Ops Johor dapat, UPM perkenal Bachelor Perakaunan tahun 1985. Ketika itu UPM pun tiada tawar Diploma Perakaunan, yang ada cuma Diploma Pengurusan Perniagaan, ijazah pun UPM gunakan Bachelor?” tulis laman itu di sini hari ini.

Osman merupakan pemimpin ketiga dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dikaitkan dengan kontroversi memalsukan sijil selepas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Marzuki.

Menurut laman web rasmi Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UPM, seperti yang diberitahu oleh Ops Johor, Ijazah Sarjana Muda Perakaunan mula ditawarkan di fakulti itu pada tahun 1985 manakala tiada Diploma Perakaunan pernah ditawarkan.

Profail Osman Sapian yang disiarkan di laman Facebook miliknya menyatakan Osman mempunyai Sijil Perakaunan dari Metro Manila College, Filipina; Diploma Perakaunan dari UPM dan Ijazah Perakaunan dari UPM. Namun tidak dinyatakan kesemua sijil tersebut diperoleh bila.

Profail Osman yang disediakan Bernama pula menyatakan Pengerusi Bersatu Johor itu mula bekerja pada tahun 1977 sehingga 1981. Pada 1988, beliau mula menyertai UMNO sebelum dipilih sebagai Ahli dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas atas tiket Barisan Nasional pada 1999. – UtusanOnline

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.