Kerjasama UMNO Dan PAS Bukan Sandiwara

BAGAN DATUK, 8 Feb – Kerjasama antara UMNO dan PAS bukan sandiwara atau main wayang demi kepentingan politik tetapi kerjasama yang ikhlas demi kepentingan Islam, Melayu dan negara, kata Anggota Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata keikhlasan kedua-dua parti itu harus telus dan tidak mempunyai agenda tersembunyi di sebalik kerjasama antara PAS dan UMNO.

Malah, bekas timbalan perdana menteri itu turut yakin bahawa parti Islam itu kali ini benar-benar ikhlas bekerjasama demi mengangkat martabat serta kepentingan Islam tanpa melupakan komuniti lain selain meminta PAS dan UMNO perlu melupakan persengketaan silam dan berpandangan lebih jauh.

“Sebelum PRU14 (Pilihan Raya Umum ke-14) lagi sudah ada rundingan untuk kerjasama PAS dan UMNO tetapi PAS membuat keputusan ‘stand alone’.

“BN (Barisan Nasional) kalah PRU14 sebab pertandingan tiga penjuru sama ada di Parlimen ataupun DUN (Dewan Undangan Negeri) dan inilah harga yang kita bayar dengan mahal, kita akui kesilapan sebab gagal keputusan tak muktamad,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian pada Wacana Pemimpin ‘Kerjasama UMNO dan PAS Sejauh Mana?’ yang turut disertai Yang DiPertua PAS Kawasan Bagan Datuk Misbahul Munir Masduki di Dewan Utama Kompleks UMNO Bagan Datuk di sini, Khamis malam.

Wacana anjuran Kelab Anak Muda Islam (KAMI) dan Pertubuhan Amal Pendakwah Bagan Datuk itu dihadiri kira-kira 300 hadirin.

Ahmad Zahid yang juga Ketua UMNO Bahagian Bagan Datuk turut berkata ada hikmahnya UMNO kini menjadi pembangkang bersama PAS kerana ia suatu proses mengenal siapa kawan yang taat setia dan siapa lawan sebenar.

Beliau turut mendedahkan setakat ini tiada sebarang muktamad tahaluf siyasi antara kedua-dua parti Melayu itu, malah dalam pertemuannya bersama Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Pasir Salak tempoh hari tiada sebarang perbincangan status kerjasama secara rasmi yang diharap oleh umum dapat saling melengkapi.

“Biarlah Bagan Datuk mulakan inisiatif kerjasama UMNO-PAS, dari awal forum ini terdapat semacam keserasian tiada wayang politik dan lakonan. Insya-Allah jika diberi amanah, saya akan pastikan keikhlasan meliputi tugas-tugas politik,” katanya.

Sementara itu, Misbahul Munir berkata kata putus mengenai perkara tahaluf siyasi antara PAS dan UMNO ketika Muktamar Ta­hunan Pas Ke-64 di Terengganu masih ditunggu yang kelulusannya dibuat oleh Majlis Syura Ulama.

“Kita (PAS) boleh kerjasama dengan mana-mana (parti) politik asalkan atas dasar takwa untuk Islam dan Melayu dan kebajikannya,” katanya. -Bernama

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.