Tidak Pernah Beri RM90 Juta Kepada Abdul Hadi, Pas – Najib

KUALA LUMPUR 3 Feb. – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan beliau tidak pernah membayar wang sebanyak RM90 juta kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mahupun parti tersebut.

Najib berkata, adalah tidak adil untuk Pas terus diserang dan difitnah secara berterusan berhubung isu tersebut.

“Perlu diingat bahawa pihak berkuasa di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) sudah membuat siasatan yang sangat teliti terhadap akaun saya dan UMNO sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) iaitu kira-kira sembilan bulan dahulu.

“Jika benar ada sebarang bayaran dari saya ataupun dari UMNO, sudah tentu kerajaan PH akan mengambil kesempatan membeku akaun bank Presiden Pas ataupun akaun parti Pas,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau, hari ini.

Kenyataan Najib itu dikeluarkan sehari selepas Pas menarik balik saman fitnahnya terhadap Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown yang membuat tuduhan tersebut.

Rewcastle-Brown hari ini mengalu-alukan penyelesaian di luar mahkamah kerana beliau tidak perlu menarik keluar artikel yang disaman Pas itu.

Rewcastle-Brown sebelum ini mendakwa dalam artikel 6 Ogos 2016 bahawa Najib menarik sokongan Pas menjelang pilihan raya umum dan sejumlah RM90 juta telah dimasukkan ke dalam akaun para pemimpin tertingginya.

Abdul Hadi kemudian bertindak menyaman Rewcastle-Brown di mahkamah London pada 21 April 2017. – UTUSAN ONLINE