Pemuda Bidas Patriot

KUALA LUMPUR, 3 Feb – Pengarah Strategik Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Wan Agyl Wan Hassan menyelar tindakan Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) yang menolak kritikan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkaitan pelantikan wakil rakyat Dap sebagai ahli Lembaga Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

Menurut Wan Agyl, kenyataan Presiden Patriot, Datuk Mohamed Arshad Raji merupakan pandangan peribadi beliau tetapi ini tidak bermakna beliau boleh menyifatkan kenyataan Asyraf sebagai jahil dan bersifat perkauman.

“Mana mungkin kenyataan Datuk Asyraf bersifat jahil dan perkauman? Beliau menyatakan semula pendirian Pakatan Harapan (PH) yang jelas termaktub di dalam manifesto yang dijanjikan rakyat.

“Keduanya wakil rakyat Dap tersebut jelas dan terang memperjuangkan ideologi parti yang tidak pernah senada dengan perlembagaan negara yang menolak Islam dan Melayu sebagai subjek yang perlu dihormati dan dilindungi, itulah Dap.”

“Lantikan dari ahli Dap adalah sindiran kepada bangsa Melayu Islam. Bukan kerana dia kurang Melayu ataupun kurang Islam, tapi kerana Pendirian Dap yang bersifat anti Islam. Itu jelas dan tidak perlu dinafikan lagi” katanya dalam satu kenyataan media.

Seterusnya Wan Agyl berpendapat presiden Patriot itu lebih layak dilantik sebagai ahli Lembaga pengarah YADIM berbanding Sheikh Omar kerana sekurang-kurangnya Patriot bukanlah ahli politik malah tidak bersekongkol dengan Dap yang sentiasa memasang agenda untuk menjadikan Malaysia ini sebagai sebuah negara sekular.

Wan Agyl berkata asasnya mudah, yang pertama PH yang dilihat dikuasai oleh Dap perlu menyatakan pendirian bahawa janji tiada lantikan politik di dalam agensi-agensi kerajaan tidak mampu dipenuhi.

“Mungkin kerana setelah menang, terlalu ramai kepimpinan di dalam Pakatan Harapan yang tidak mampu menahan godaan kuasa dan kedudukan.

“Keduanya, Dap perlu membuat deklarasi pendirian mereka berkaitan Islam. Ini bagi menjelaskan kedudukan wakil Dap di dalam YADIM. Jangan pula hipokrit iaitu memberi laungan berunsur Islamophobia namun berpura-pura di khalayak ramai.

“Saya juga berharap Patriot selaku badan bukan kerajaan dapat membuat deklarasi untuk bertindak sekiranya Dap melalui ahlinya, yang menggunakan YADIM menampakkan agenda pembentukan negara sekular yang diimpikan oleh Lim Kit Siang,” jelasnya lagi.

Justeru, Wan Agyl berpandangan pasti sekiranya Patriot melihat kembali kepada dua faktor yang dipolemik oleh Ketua Pemuda UMNO Malaysia, beliau mungkin bersetuju wakil Dap tidak patut dilantik ke dalam YADIM termasuklah semua kepimpinan politik yang lain.

“Ada ramai lagi mereka yang tidak mempunyai jawatan di dalam parti yang layak untuk menjadi ahli Lembaga Pengarah YADIM.

“Jika berkenan sangat dengan jawatan ahli Lembaga Pengarah YADIM, mungkin mereka boleh meletak jawatan di dalam parti sejajar dengan janji manifesto yang dicanangkan,” tegasnya. – Media UMNO