UMNO Perlu Sedia Adaptasi Saranan NACP, Peluang Terbaik Tangkis Persepsi Umum

KUALA LUMPUR, 31 Jan – Pelan Antirasuah Nasional (NACP) yang turut melibatkan UMNO merupakan peluang serta kesempatan terbaik dalam usaha parti untuk mengubah tanggapan dan memperbetul persepsi umum terhadap nilai dan amalan parti selama ini.

Ketua Pemuda UMNO Pasir Gudang, Noor Azleen Ambros berkata peluang ini juga sebenarnya wajar dimanfaatkan parti seterusnya untuk meyakinkan rakyat bahawa UMNO kini dalam proses berubah dan akan kembali tampil dengan wajah baru melalui penekanan kepada soal nilai, etika dan integriti sebagai naratif utama yang mendasari parti.

“Untuk itu, Pemuda UMNO Pasir Gudang mencadangkan agar UMNO menubuhkan sebuah jawatankuasa kerja di peringkat pusat dan negeri-negeri untuk mengadaptasi saranan-saranan yang terkandung dalam Pelan Antirasuah Nasional (NACP) tersebut.

“Memandangkan UMNO juga kini dalam proses mendapatkan maklum balas dan pandangan untuk meminda beberapa perkara dan fasal dalam perlembagaan parti, Pemuda UMNO Pasir Gudang juga mencadangkan agar saranan yang terkandung dalam pelan ini juga wajar diambil kira dan dijadikan sebahagian daripada input kepada proses pindaan Perlembagaan UMNO ini,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan menyifatkan Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023 yang dilancarkan semalam sebagai satu pelan yang baik sejajar usaha memerangi budaya rasuah dengan memastikan gejala itu dapat dibendung dan sekaligus dihapuskan.

Beliau, yang kini menjalankan tugas presiden parti turut menyatakan sokongan terhadap pelan yang dianggap amat wajar dilaksanakan untuk bangsa dan negara, dan jika ia tidak ditangani dari peringkat awal, jenayah rasuah boleh menghancurkan sesebuah tamadun.

Noor Azleen seterusnya menambah UMNO sebagai sebuah parti politik paling lama dan paling besar dalam negara perlu menerima pelan ini dengan matang, jujur dan secara terbuka.

“UMNO perlu berjiwa besar untuk menerima seterusnya meneliti setiap cadangan serta langkah-langkah penambahbaikan yang dikemukakan dalam pelan ini, khususnya yang melibatkan sektor politik,” ujarnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.