UMNO Sabah Beri Tumpuan Bersihkan Parti

KOTA KINABALU, 30 Jan – UMNO Sabah memberi tumpuan sepenuhnya untuk menyusun semula parti sehingga ke peringkat akar umbi selepas beberapa wakil rakyat dan pemimpin kanan parti di negeri itu bertindak keluar UMNO pada Dis tahun lepas, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.

“Apa yang penting adalah untuk menyusun semula UMNO Sabah dan kini kita sedang melakukan pembersihan untuk mengenalpasti jumlah ahli yang masih bersama UMNO.

“Kini proses pembersihan ahli itu sudah 80 peratus (selesai) dan akan dapat disiapkan dalam masa kira-kira dua minggu lagi,” katanya yang juga Anggota Parlimen Kinabatangan dalam sidang media selepas mesyuarat pertama parti itu di bawah pimpinannya di sini, hari ini.

Jelasnya, berdasarkan rekod terkini UMNO Sabah mempunyai kira-kira 565, 640 ahli di 5,187 cawangan yang masih aktif di seluruh negeri tersebut. – MediaUMNO