Momentum Kemenangan Dijangka Berterusan Dalam PRK Semenyih

KANGAR 30 Jan. – Kerjasama UMNO dan Pas sudah mula menampakkan hasil melalui kemenangan bergaya Barisan Nasional (BN) dalam
Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, baru-baru ini.

Sehubungan itu, Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, beliau percaya momentum kemenangan tersebut dijangka berterusan dalam PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Mac depan.

Katanya, kerjasama UMNO dan Pas dilihat semakin mantap bermula dengan himpunan Bantahan Meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) sebelum ini.

“Momentum kerjasama ini sudah ada dan ia perlu dikukuhkan lagi bagi menghadapi cabaran PRK DUN Semenyih tidak lama lagi.

“Jika dilihat Pas sudah memutuskan untuk tidak meletakkan calon di DUN Semenyih dan saya yakin ini adalah satu petanda baik bahawa Pas akan terus bekerjasama dengan BN.

“Apa yang perlu kita lakukan hanyalah istiqamah selain kerjasama berterusan, Insya-Allah DUN Semenyih akan menjadi milik BN seperti yang berlaku di Cameron Highlands,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Dalam PRK Parlimen Cameron Highlands baru-baru ini, BN mempertahankan kerusi Parlimen Cameron Highlands dengan majoriti besar iaitu 3,238 undi.

Calon BN, Ramli Mohd. Nor mendapat 12,038 undi sekali gus menewaskan calon Pakatan Harapan, M. Manogaran yang memperoleh 8,800 undi.

PRK DUN Semenyih pula ditetapkan pada 2 Mac depan manakala penamaan calon pada 16 Februari.

Mengulas lanjut, Azlan berkata, kerjasama UMNO dan Pas adalah untuk kebaikan rakyat dan langsung tidak menyentuh sentimen yang boleh menggugat keamanan negara.

“Kerjasama UMNO dan Pas adalah satu wadah yang bersifat menyeluruh dan satu bentuk penyatuan umat dalam menghadapi PRK akan datang,” katanya. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.