Bahaya Sangat Ke Saya Main Facebook? – Najib

KUALA LUMPUR 30 Jan. – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) pernah memohon kepada hakim supaya Datuk Seri Najib Tun Razak tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan atau menggunakan media sosial termasuk Facebook dan Twitter.

Bekas Perdana Menteri berkata, permohonan tersebut antara dua syarat yang dimohon PH tahun lalu sebelum membenarkan beliau dibebaskan dengan ikat jamin.

“Bahaya sangat ke saya main Facebook?

“Alhamdulillah, tuan hakim telah menolak syarat-syarat kerajaan PH dan saya masih boleh menjelaskan dan menyangkal fitnah-fitnah mereka terhadap saya dan Barisan Nasional (BN) melalui media sosial,” katanya dalam hantaran Facebook beliau hari ini.

Menurut Najib, syarat lain yang dimohon PH adalah meminta bekas Presiden UMNO itu tidak boleh menganjur atau menghadiri sebarang acara awam kecuali acara agama.

Kata beliau, walau bagaimanapun kedua-dua syarat dalam permohonan tersebut telah ditolak oleh hakim.

Dalam hantaran yang sama, Najib turut berkongsi keratan berita daripada portal Malaysiakini berhubung permohonan tersebut. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.