Tumpat Perlu Pelabuhan, ECRL Keluar Daripada Kemiskinan

KOTA BHARU 29 Jan. – Jajahan Tumpat yang dikatakan antara kawasan termiskin di negara ini mampu dimajukan jika sebuah pelabuhan dapat diwujudkan di situ.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, pembinaan pelabuhan adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dan hanya Kementerian Pengangkutan boleh meluluskan perkara itu.

Kata beliau, permohonan untuk pembinaan pelabuhan tersebut telah beberapa kali dibuat kepada Kerajaan Pusat terdahulu namun sehingga kini belum direalisasikan.

“Saya tidak pasti bagaimana Datuk Seri Rina Harun dapat angka kemiskinan tersebut. Cuma kita memang tahu Tumpat agak ketinggalan berbanding kawasan lain.

“Oleh sebab itu kita rangka beberapa program, namun belum dapat dilaksanakan. Pada pendapat kita, perkara yang paling penting untuk Tumpat ialah pembinaan pelabuhan,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis makan malam ramah mesra Konsul Jeneral Thailand di Pejabat Konsulat Thailand, di sini malam tadi.

Kelmarin, Rina mendedahkan Kementerian Pembangunan Luar Bandar telah mengenal pasti 28 daerah termiskin di negara ini, termasuk Tumpat yang perlu diberi tumpuan bagi pelaksanaan program pembangunan sosioekonomi.

Selain Tumpat, turut tersenarai ialah Yan di Kedah serta beberapa daerah lain di Sabah dan Sarawak.

Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata, selain pelabuhan, projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) juga antara pemangkin kepada perkembangan pembangunan di Tumpat.

“Kerajaan negeri mencadangkan supaya projek ECRL dipanjangkan sehingga ke Pengkalan Kubor di Tumpat dan kerajaan Pusat terdahulu telah menerima cadangan tersebut,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengulangi pendirian kerajaan negeri yang berharap projek ECRL boleh diteruskan bagi membantu membangunkan Kelantan yang ketinggalan berbanding negeri-negeri lain. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.