Kesempitan Hidup Mula Dirasai Di Bawah Pentadbiran PH

KUALA LUMPUR 28 Jan. – Naib Ketua UMNO Bahagian Seputeh, Datuk Razlan Rafii melihat rakyat kini mulai merasai kesempitan hidup di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) terutama selepas beberapa kelompok tidak lagi menerima bantuan selain penjawat awam bekerja dalam keadaan tertekan.

KUALA LUMPUR 28 Jan. – Naib Ketua UMNO Bahagian Seputeh, Datuk Razlan Rafii melihat rakyat kini mulai merasai kesempitan hidup di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) terutama selepas beberapa kelompok tidak lagi menerima bantuan selain penjawat awam bekerja dalam keadaan tertekan.

Katanya, keadaan itu boleh disaksikan apabila pasangan yang baru memulakan hidup bekeluarga, kini sudah mula membuat ‘pinjaman’ dan bantuan daripada ibu bapa kerana kekurangan sumber untuk menyara kehidupan keluarga.

Tambahnya, golongan seperti peneroka, petani dan nelayan berdepan tekanan paling hebat disebabkan hasil mereka berkurangan, manipulasi orang tengah selain bantuan sara hidup yang seolah-olah dinafikan oleh pihak kerajaan.

“Apabila PH memberi jaminan melaksanakan pentadbiran lebih baik daripada Barisan Nasional (BN), ramai yang merasakan inilah masanya untuk menukar atau diberi peluang kepada parti baharu menerajui negara.

“Hari ini semua tawaran menarik yang pernah didengari hanyalah dusta belaka. Malah, penjawat awam yang sebelum ini ikhlas berkhidmat demi keluarga dan negara kini dihina saban hari apabila dituduh tidak profesional bekerja, mengamalkan rasuah, tidak efektif dan lebih malang ditamatkan perkhidmatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Baginya, mereka yang mahu memilih PH semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) umpama memasuki sebuah gedung beli-belah yang menawarkan pelbagai tawaran menarik kononnya pentadbiran kerajaan akan telus dan baik tanpa campurtangan politik, mereka yang rajin akan dinaikkan pangkat selain pemansuhan tol dan penurunan harga petrol.

“Namun (selepas PRU-14) ia telah membuka mata rakyat bahawa PH sebenarnya gagal mentadbir negara. Kerajaan yang terbentuk hasil fitnah semakin layu dan bakal ranap bila-bila masa.

“Ibarat marahkan nyamuk seekor, kelambu habis dibakar. Kesilapan rakyat sebelum ini, marahkan pemimpin kerana fitnah, habis digadaikan seluruh nilai dan nikmat yang dimiliki. Keghairahan pemimpin PH menjaja berita tidak benar menyebabkan pelbagai pertelagahan muncul sehingga kini masih lagi belum diperbaiki sebaiknya,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai nasib penjawat awam, Razlan berkata, seramai 22,000 penjawat awam telah ditamatkan perkhidmatan oleh kerajaan dengan alasan kesemua mereka merupakan pekerja lantikan politik yang terdiri daripada kumpulan sokongan seperti pemandu, kerani, pembancuh teh dan pembantu pejabat.

Tambahnya, banyak persoalan dilontarkan kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN), tetapi malangnya KSN yang begitu mesra dengan penjawat awam ketika zaman pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kini umpama dijahit mulut tidak mampu bersuara.

“Sehingga kini, tiada siapa dalam kalangan kepemimpinan peringkat Kerajaan Persekutuan bangkit membela nasib mereka yang telah ditamatkan perkhidmatan ini.

“Apakah nasib anak-anak mereka yang baru memulakan musim persekolahan tahun 2019, adakah serba lengkap keperluan persekolahan mereka? itu belum lagi dimasukkan hal sewa rumah, kenderaan dan keperluan harian,” katanya.

Tambahnya, agensi-agensi yang menjadi pemudahcara antara kerajaan dan rakyat kini ditutup dan banyak lagi yang bakal menerima nasib yang sama.

Razlan memberi contoh yang berlaku kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) apabila ramai kakitangan suruhanjaya itu kehilangan punca pendapatan dan mereka pernah dijanjikan bakal diserapkan ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Tetapi dipaksa menerima gaji yang lebih rendah. Sekiranya sebelum ini seseorang itu bergaji RM3,000 kini terpaksa menerima gaji permulaan sekitar RM1,500 dan hilang taraf kekananan dalam jabatan.

Ini antara ribuan kes yang terjadi kepada penjawat awam yang dibuang kerja,” katanya.

Jelasnya, meskipun pada tahun 2008 Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) telah mencadangkan kepada kerajaan untuk melaksanahan formula pengurangan penjawat awam, namun ia tidak dilaksanakan.

“Namun PH mengambil perkara itu sebagai peluang memberhentikan penjawat awam seperti yang dilaungkan oleh pemimpin mereka sebelum berkuasa.

“Mereka sudah sekian lama menabur racun kepada perkhidmatan awam, menuduh ia sebagai pembaziran. Mereka menggunakan akhbar tabloid The Edge untuk menabur racun menuduh penjawat awam satu pembaziran,” katanya.

Beliau berharap rakyat memperbaiki keadaan dan segera menghentikan tindakan-tindakan tidak berperikemanusiaan dan tidak berfaedah langsung untuk bangsa, agama dan negara.- UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.