Pintar, Prihatin Jadikan Sultan Nazrin Disegani

KUALA LUMPUR, 24 Jan – Kecemerlangan akademik dan lantang melontarkan pandangan menjadikan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang dipilih sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong sebagai raja yang berintelektual tinggi dan disegani.

Sultan Nazrin, 62, yang berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Politik, Ekonomi dan Kerajaan secara lantang akan menegur pihak pentadbir sekiranya terdapat perkara tidak betul terutama yang melibatkan kesejahteraan rakyat.

Diputerakan pada 27 Nov 1956, di Georgetown, Pulau Pinang, baginda juga mempunyai Ijazah Sarjana dalam bidang Pentadbiran Awam dari Universiti Harvard, Amerika Syarikat selain Ijazah Sarjana Muda dalam Bidang Falsafah, Politik dan Ekonomi dari Universiti Oxford, England.

Kebijaksanaan yang dimiliki baginda itu diterjemahkan dengan jelas pada setiap titah dengan menyentuh segenap aspek merangkumi isu global, pentadbiran kerajaan mahupun kehidupan rakyat.

Antara yang diingati pastinya teguran baginda terhadap pemimpin yang tidak amanah dan berintegriti hingga mengakibatkan ummah berada dalam sengsara semasa sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2018 di Putrajaya.

Sultan Nazrin dimasyhurkan sebagai Sultan Perak ke-35 pada 29 Mei 2014, manakala istiadat pertabalan berlangsung di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada 6 Mei 2015.

Putera sulung Almarhum Sultan Azlan dan Tuanku Bainun yang merupakan bekas pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) diangkat menjadi Sultan Perak berikutan kemangkatan ayahanda baginda pada 28 Mei 2014.

Sultan Nazrin dilantik sebagai Canselor Universiti Malaya 16 Julai 2014 selain merupakan Canselor Universiti Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar selepas ia dinaik taraf daripada Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah pada 2016.

Sultan Nazrin diijabkabulkan dengan Tuanku Zara Salim, 46, pada 17 Mei 2007 dan pasangan diraja itu dikurniakan seorang putera, Raja Azlan Muzzaffar Shah, 11, serta seorang puteri Raja Nazira Safya, 7.

Pada 13 Dis 2016, Sultan Nazrin dilantik sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Pada 2 Nov lalu, baginda selaku Timbalan Yang di-Pertuan Agong menandatangani pengisytiharan menjalankan tugas-tugas Yang di-Pertuan Agong apabila Sultan Muhammad V beristirahat menjalani rawatan.

Disebalik ketegasan baginda, Sultan Nazrin amat prihatin dan mudah tersentuh dengan kesusahan rakyat antaranya kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim pada 17 Dis lalu dalam rusuhan di tapak kuil Seafield, Subang Jaya, November lepas.

Keprihatinan baginda akan insiden yang menyedihkan negara jelas menyentuh perasaan baginda yang sebak dan menitiskan air mata ketika bertitah pada Majlis Penyampaian Watikah Perlantikan Ahli-ahli Majlis Agama Islam, Hakim Mahkamah dan Pendaftar Mahkamah Syariah Pulau Pinang. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.