Guan Eng Patut Fokus Tingkat Ekonomi Negara, Persoal Kedudukan Hutang Pahang Tak Profesional

KUALA LUMPUR 24 Jan. – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sewajarnya tidak menyalahgunakan kedudukan sebagai Menteri Kewangan dengan bermain politik dan perlu kembali fokus meningkatkan ekonomi negara serta pendapatan rakyat.

Tindakan Guan Eng yang mempersoal kedudukan hutang Kerajaan Pahang menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, Sabtu ini juga dianggap sebagai tidak profesional.

Pensyarah di Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Mohd. Izani Mohd. Zain malah berpandangan kenyataan Guan Eng itu sebagai bermotifkan politik walaupun mempunyai kapasiti untuk mengeluarkan kenyataan sebagai Menteri Kewangan.

Jelas beliau, Guan Eng seharusnya lebih berhati-hati kerana bukan sahaja boleh menjejaskan reputasinya sebagai seorang menteri bahkan juga Kerajaan Pakatan Harapan (PH) secara keseluruhannya.

“Tindakan Guan Eng seolah-olah merendahkan kemampuan Pahang itu tidak patut berlaku. Saya juga percaya bukan Pahang sahaja yang berhutang dengan Kerajaan Persekutuan, malah perkara itu juga bukanlah sesuatu yang luar biasa.

“Ini juga bukanlah kali pertama beliau bertindak sedemikian kerana sebelum ini pun banyak kenyataan yang boleh disalah ertikan disebabkan bermotif politik,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Guan Eng dalam kenyataan Isnin lalu memberitahu bahawa pada 31 Disember 2017, kedudukan Akaun Hasil Disatukan Kerajaan Negeri Pahang secara terkumpul adalah negatif RM228 juta dan keadaan defisit mencerminkan pengurusan kewangan yang tidak bertanggungjawab dan tidak berhemah.

Menerusi kenyataan rasmi itu juga, menteri tersebut turut mempersoalkan mampukah Kerajaan Negeri Pahang menjalankan pembangunan dengan hutang paling tinggi dalam Malaysia sebanyak RM3.2 bilion pada akhir 2018.

Tindakan Guan Eng yang menggunakan saluran kerajaan itu dibidas beberapa Ahli Parlimen pembangkang termasuk Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.