UMNO Johor Kekal Kukuh

JOHOR BAHRU, 21 Jan — Dengan 2,362 cawangan UMNO di seluruh negeri Johor selepas proses pemutihan parti dijalankan, UMNO negeri kekal kukuh walaupun selepas ia tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lepas, kata Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Samsolbari Jamali.

“UMNO masih utuh di peringkat akar umbi. Kita berbangga walau apa pun tekanan diberikan kepada UMNO, parti masih kekal wujud,” katanya dan menambah parti itu kini perlu mensasarkan kemenangan dalam pilihan raya akan datang dengan kembali memenangi hati masyarakat.

Merujuk kepada kedudukan Anggota Parlimen Mersing, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, Samsolbari berkata UMNO Johor tidak menutup pintu kepadanya, dan terpulang kepada individu untuk memilih haluan mereka di samping menilai sendiri jasa parti selama ini.

“Mereka boleh ada 1,001 alasan untuk meninggalkan parti dan juga 1,001 alasan untuk kembali masuk UMNO,” kata Samsolbari yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semarang kepada pemberita di sini hari ini.

Disember lalu, enam Anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) termasuk Abdul Latiff mengumumkan keluar UMNO, dan baru-baru ini timbul ura-ura mengenai hasrat mereka untuk kembali kepada parti asal, namun Abdul Latiff yang mewakili kumpulan itu bagaimanapun dilaporkan menyangkalnya.-Bernama

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.