Ketua Hakim, Peguam Negara Elok Letak Jawatan – Rosnah

KUALA LUMPUR 21 Jan. – Maruah institusi kehakiman di negara ini dipercayai mampu diselamatkan dengan peletakan jawatan Ketua Hakim Negara dan Peguam Negara.

Saranan itu disuarakan oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin yang melihat, doktrin pengasingan kuasa seolah-olah tidak wujud di negara ini sehingga mencalarkan institusi kehakiman dengan begitu teruk sekali.

Katanya, Kod Etika Hakim 2009 yang sepatutnya menjadi panduan utama bagi memastikan doktrin tersebut termasuk kebebasan untuk tidak berat sebelah dan integriti terus terpelihara tidak lagi dihayati oleh individu berkenaan.

“Saya agak terkejut mengapa perkara sepenting ini tidak dihayati oleh mereka yang berlindung di sebalik prinsip kedaulatan undang-undang.

“Tindakan watak-watak ini berdansa dan berkongsi pentas yang sama sungguh memalukan apabila pemimpin yang sama pernah mendesak bekas Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali untuk meletak jawatan kerana tular beliau menari selepas perasmian Hari Kemerdekaan beberapa tahun sebelum ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Rosnah berkata, apa yang menimbulkan kontroversi bukanlah pada lenggang-lenggok tarian pemegang utama watak-watak dalam pesta tersebut tetapi keberadaan pemegang jawatan utama negara terutamanya Ketua Hakim Negara dan Peguam Negara.

“Tidak cukup dengan apa yang berlaku, tampil pula watak lain termasuklah Menteri dan Timbalan Menteri yang memberi justifikasi yang boleh diibaratkan sebagai menegakkan benang yang basah.

“Malah, turut tidak ketinggalan ‘dua pelakon wanita’ hebat negara iaitu Ambiga dan Siti Kassim,” sindirnya. –UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.