Politik Fitnah: Jangan ‘Double Standard’… Mana BERSIH 2.0 Di PRK Cameron Highlands

TANAH RATA, 18 Jan – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, BERSIH 2.0 sewajarnya menegur Pakatan Harapan (PH) kerana mengamalkan cara berkempen yang tidak sepatutnya di Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.

Jelas beliau, BERSIH 2.0 tidak boleh bersikap ‘double standard’ dalam memantau PRK ini kerana mereka sering melaung-laungkan mahu pilihan raya yang telus dan adil.

“Dulu BERSIH sering mengecam kerajaan pada waktu itu tidak adil, tidak ikut peraturan… jadi sekarang mana BERSIH. Tegurlah PH jangan melakukan provokasi yang lebih.

“PH pula sudah jadi kerajaan patut tunjuk contoh. Tidak boleh ikut suka hati dan buat tuduhan tidak berasas mengenai pembangunan Orang Asli.

“Saya rasa Lim Kit Siang baru kali ini masuk kampung Orang Asli (sebab itu buat tuduhan kerajaan dulu tidak menjaga kepentingan Orang Asli) sedangkan kerajaan dari dulu telah melakukan pembangunan Orang Asli, dalam pendidikan, dalam ekonomi… jadi tak payahlah buat kecaman terhadap kerajaan terdahulu,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Bercakap berkaitan kempen di PRK Cameron Highlands beliau amat berpuas hati dengan pergerakan semua jentera.

“Saya lihat jentera di semua peringkat amat bersemangat bagi memenangkan calon BN. Bukan sahaja ada program, ada aktiviti tetapi mereka telah mengenal pasti pengundi di tempat masing-masing.

“Paling penting sekali bukan sahaja mengenalpasti tetapi bagaimana nak keluarkan pengundi pada hari mengundi nanti,” ujar beliau lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.