BN Pahang Sedia Dedah Jumlah Perbelanjaan PRK Cameron Highlands

RAUB, 16 Jan – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata parti itu bersedia mendedahkan perbelanjaannya sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands selepas pilihan raya selesai.

Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang yakin calon BN, Ramli Mohd Nor tidak mempunyai masalah untuk membentangkan belanjawan sepanjang tempoh itu

“Kita akan bentang menurut apa yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)… tiada ada yang nak diselindungkan atau disembunyikan,” katanya kepada Bernama selepas Majlis Penyampaian Bantuan Kerajaan Negeri serta Hadiah Pelajar Cemerlang UPSR 2018 Parlimen Raub, di sini hari ini.

Majlis turut dihadiri oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Datuk Aziz Kiram yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Batu Talam dan Pengurus Besar Yayasan Pahang Datuk Mahmud Mohd Nawawi.

Wan Rosdy berkata demikian sebagai mengulas kenyataan veteran DAP Lim Kit Siang yang melontar cabaran sama ada BN bersedia mendedahkan perbelanjaan parti sepanjang kempen PRK berkenaan.

Anggota Parlimen Iskandar Puteri itu membuat kenyataan terssebut selepas penularan beberapa keping gambar yang menunjukkan seorang petugas parti Pakatan Harapan memberikan wang kepada Orang Asli yang bertugas pada proses penamaan calon di Tanah Rata, 12 Jan lalu.

Wang itu dilapor diberikan sebagai membayar semula wang minyak motosikal seramai 60 Orang Asli yang hadir pada hari berkenaan dengan masing-masing menerima RM20.

Mengulas lanjut tentang perkara itu Wan Rosdy berkata: “Kita yakin pengundi bijak menilai dan melihat apa yang berlaku.” – BERNAMA