Ada Peraturan, Proses Perlu Diikuti Jika Mahu Sertai Semula UMNO

KUALA LUMPUR 16 Jan. – Semua orang Melayu dan bumiputera berhak untuk menyertai UMNO, termasuk mereka yang telah meninggalkan parti tersebut.

Naib Presiden UMNO yang turut menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagaimanapun berkata ada peraturan dan proses perlu diikuti oleh mereka yang telah meninggalkan UMNO, jika ingin sertai semula parti berkenaan.

“UMNO merupakan parti orang Melayu dan bumiputera yang terbuka untuk orang Melayu dan bumiputera. Semua
orang Melayu dan bumiputera berhak menyertai UMNO.

“Walau bagaimanapun semua akan tertakluk kepada peraturan dan proses. Bagi yang keluar parti dan menyokong lawan, ada peraturan dan proses tersendiri yang perlu diikuti,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa semalam mengesahkan parti itu ada membincangkan mengenai enam Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang mengumumkan keluar UMNO bulan lalu memohon untuk kembali menyertai parti itu.

Namun menurutnya, setakat ini tiada keputusan yang khusus dibuat mengenai perkara itu sambil menegaskan belum ada antara mereka yang mengemukakan borang permohonan untuk menyertai UMNO.

Enam ahli Parlimen yang kini menjadi Ahli Parlimen Bebas meninggalkan UMNO pada 14 Disember lalu ialah Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad dan Ahli Parlimen Tasik Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya.

Tiga lagi ialah Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Pada masa sama, Ismail Sabri berkata beliau tidak pasti dan tidak dimaklumkan mengenai enam ahli Parlimen BN yang keluar UMNO bulan lalu memohon untuk kembali menyertai parti itu.

“Jika ada perkara tersebut, ia akan dibincangkan dalam mesyuarat pengurusan sebelum di bawa ke peringkat Majlis Tertinggi parti.” katanya.- UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.