SPR Terima Notis Kekosongan DUN Semenyih

PUTRAJAYA, 15 Jan – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan menerima pemakluman rasmi kekosongan luar jangka kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.24 Semenyih berikutan kematian penyandangnya Bakhtiar Mohd Nor pada 11 Jan lepas.

Setiausaha SPR Datuk Mohamed Elias Abu Bakar dalam kenyataan hari ini berkata pemakluman rasmi itu diterima daripada Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor Ng Suee Lim, semalam.

Sehubungan itu, SPR akan mengadakan mesyuarat khas yang akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun pada Jumaat ini di ibu pejabat SPR, di sini.

“Mesyuarat khas tersebut akan membincangkan tarikh-tarikh penting pilihan raya kecil (PRK) seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dalam pilihan raya itu dan persiapan lain yang diperlukan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut,” katanya.

Bakhtiar, 57, meninggal dunia di Hospital Kajang pada 4.45 pagi Jumaat lepas akibat serangan jantung.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei tahun lepas, Bakhtiar yang mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menewaskan calon BN, PAS dan PSM dalam pertandingan empat penjuru dengan majoriti 8,964 undi.

Allahyarham yang juga Ketua Bahagian Bersatu Hulu Langat memperoleh 23,428 undi. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.