Ramli Yakin Menang, Bantu Selesai Masalah Penduduk

CAMERON HIGHLANDS 15 Jan. – Calon Barisan Nasional (BN), Ramli Mohd. Nor optimis mampu meraih kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands pada 26 Januari ini.

Beliau berkata, kemenangan BN di Parlimen itu bakal memberi manfaat kepada penduduk terutama dalam penyelesaian masalah tempatan terutama membabitkan isu lesen pendudukan sementara (TOL) yang membelenggu mereka selama ini.

Katanya, hal ehwal berkaitan tanah adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan sewajarnya pengundi memilih wakil rakyat daripada parti yang sama untuk memastikan isu tersebut dapat diselesaikan dengan lebih berkesan.

“Saya orang tempatan, Orang Asli dan saya memahami masalah mereka di sini. Saya akan bantu mereka namun apa yang paling penting adalah meletakkan saya di Parlimen terlebih dahulu.

“Saya positif dan optimis (menang). InsyaAllah saya percaya mereka di sini (pengundi) akan beri sokongan kepada saya dengan dibantu rakan-rakan BN lain,” katanya ketika ditemui selepas melawat Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Raja di sini hari ini.

Terdahulu, Ramli turut meluangkan masa menghadiri sambutan Pesta Ponggal di Kuil Sri Maha Mariamman di Ladang Blue Valley dan melawat Bilik Gerakan MIC di kawasan itu selain ramah mesra bersama penduduk di Kampung Raja. – UTUSAN ONLINE