Pas Bantu Kempen Calon BN – Abdul Hadi

KEMAMAN 15 Jan. – Pas bersedia membantu kempen calon Barisan Nasional (BN), Ramli Mohd. Nor sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, beliau sendiri akan turun padang pada Ahad ini bagi bertemu pengundi di samping memberi sokongan kepada Ramli yang merupakan bekas pegawai kanan polis yang juga wakil kaum Orang Asli.

“Insya-Allah kita beri sokongan kepada calon parti pembangkang. Beliau (Ramli) tidak mewakili UMNO, Pas atau mana-mana parti cuma menggunakan simbol BN.

“Saya akan turun berkempen pada hari Ahad,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian Dewan Datuk Seri Tuan Guru di Pusat Latihan Darul Iman (DITC) Teluk Kalong oleh Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di sini hari ini.

Pas tidak meletakkan calonnya dalam PRK Parlimen Cameron Highlands yang berlangsung pada 26 Januari ini.

Keputusan itu dicapai selepas Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan mengumumkan calon yang bertanding bagi kerusi tersebut baru-baru ini.

Mohamad berkata, penyokong Pas juga diyakini akan membantu dan mengundi calon BN kali ini. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.