MB Pahang Wakili Rakyat Lafaz Taat Setia Kepada Sultan Abdullah

PEKAN, 15 Jan – Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mewakili seluruh rakyat Pahang menzahirkan ikrar taat setia kepada Sultan Pahang Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang keenam hari ini.

Wan Rosdy yang merafak sembah tahniah atas pemasyhuran itu berjanji menyerahkan seluruh tenaga dalam memastikan kedaulatan negeri ini terpelihara di bawah pemerintahan Sultan Abdullah.

Beliau berkata Sultan Abdullah merupakan contoh perumpamaan ‘ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi’ kerana mewarisi sikap ayahanda baginda Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah dalam aspek keprihatinan terhadap rakyat.

“Tuanku Sultan menjadi kebangaaan patik dan rakyat jelata sekalian… pantang mendengar kesusahan rakyat atau keperitan rakyat, Tuanku akan segera hadir untuk berdamping dengan rakyat jelata.

“Ini sangat menepati apa yang telah sebati dengan sikap keluarga diraja negeri ini. Betapa raja, rakyat sehati sejiwa serta raja dan rakyat berpisah tiada,” katanya dalam ucapan taat setia sempena Istiadat Pemasyhuran Sultan Abdullah di Istana Abu Bakar di Bandar Diraja ini.

Wan Rosdy berkata Sultan Abdullah telah mempamerkan keperibadian yang unggul ketika baginda memikul tanggungjawab selaku Pemangku Raja Pahang.

“… daripada segi peranan raja-raja Melayu sendiri, Sultan Abdullah Al-Haj mempunyai pendirian yang jelas dan tegas seperti titah semasa diwawancara media pada 2008 yang antaranya memetik peranan raja bukanlah semata-mata menjadi ‘figure head’ (simbol).

“… tetapi yang lebih penting ialah sebagai custodian of the state, protector of Malay rights and figure head of all races (penjaga kepada negeri, pelindung kepada hak-hak orang Melayu, ketua kepada semua kaum),” katanya.

Wan Rosdy berkata rakyat Pahang amat bertuah kerana dapat tinggal di negeri yang aman dan damai serta keadaan keselamatannya terkawal, berdasarkan statistik kadar jenayah yang amat rendah.

“Ini dimungkinkan oleh pemerintahan Tuanku sebagai faktor penyatu atau ‘unifying factor’ dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum, agama dan latar belakang ekonomi,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.