Agih Wang Di PRK Cameron Highlands, Apakah Ini Bukan Dikira Rasuah Politik?

KUALA LUMPUR, 13 Jan  – Pemuda UMNO mempersoal gambar seorang wanita mengagihkan wang kepada beberapa pemuda yang tular dalam media sosial hari ini.

Gambar tersebut yang dipercayai dirakam ketika Pakatan Harapan (PH) berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands memberi gambaran seolah-olah wujud elemen politik wang dalam kempen pakatan itu.

Sehubungan itu, Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mendesak Suruhanjaya pilihan Raya (SPR) supaya menyiasat segera perkara tersebut.

“Apakah ini bukan dikira rasuah politik di waktu PRK Cameron Highlands?

“Pemuda UMNO desak pihak SPR menyiasat segera laporan yang telah dibuat oleh Pemuda UMNO terhadap siri kempen Pakatan Harapan yang disyaki mengagihkan wang kepada pengundi dari kalangan pengundi Orang Asli di Cameron Highlands kelmarin,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook miliknya di sini hari ini.

Gambar tular tersebut menunjukkan seorang wanita memakai baju dengan logo PH mengagihkan wang kepada beberapa pemuda yang memakai baju sama.

Dalam gambar yang lain, kelihatan kira-kira 30 orang dengan baju sama sedang mendengar ucapan daripada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dan calon PH bagi PRK Cameron Highlands, M. Manogaran. – Utusan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.