ADUN Semenyih Meninggal Dunia Akibat Serangan Jantung Pagi Tadi

SHAH ALAM, 11 Jan – Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Semenyih, Bakhtiar Mohd Nor, 57, meninggal dunia di Hospital Kajang pukul 4.45 pagi ini akibat serangan jantung.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Borhan Aman Shah berkata jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke rumah keluarga di Batu 19, Jalan Sungai Lalang, Kolam Memancing Teratak Tekala, Semenyih.

“Jenazah akan disembahyangkan sejurus selepas solat Jumaat di Masjid Kampung Pasir, Semenyih dan kemudian akan disemadikan di Tanah Perkuburan Kampung Pasir.

“Ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan saya berdoa semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan golongan yang soleh,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Mei tahun lepas, Baktiar yang mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menewaskan calon BN, PAS dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) dalam pertandingan empat penjuru dengan majoriti 8,964 undi.

Allahyarham yang juga Ketua Bahagian Bersatu Hulu Langat memperoleh 23,428 undi. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.