MIC Lepaskan Kerusi Cameron Highlands Demi Calon Yang Penuh Integriti

KUALA LUMPUR 10 Jan. – MIC pasrah tidak mempertahankan kerusi Parlimen Cameron Highlands dengan memberi laluan kepada calon baharu mewakili Barisan Nasional (BN), Ramli Mohd. Noor bagi memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) di kawasan tersebut.

Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran berkata, perkara paling penting adalah calon yang mewakili BN itu penuh integriti, memiliki moral tinggi serta telah berjasa di kawasan tersebut.

Beliau berkata, keyakinan MIC untuk meletakkan calonnya juga merosot 50 peratus selepas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan kemenangan penyandang kerusi itu, Datuk C. Sivaraajh adalah terbatal dan tidak sah akibat rasuah.

“Moral kita pun jatuh selepas keputusan mahkamah lalu, baik UMNO, MIC atau MCA.

“Kita rasa apa yang paling penting sekarang adalah strategi untuk menang dan menaikkan semangat moral dengan meletakkan calon yang berintegriti, bermoral dan telah berjasa kepada penduduk di kawasan itu,” katanya ketika ditemui selepas sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan mengumumkan calon BN bagi PRK Parlimen Cameron Highlands di Hotel Seri Pacific, di sini hari ini.
Yang turut hadir ialah Naib Presiden Pas, Datuk Iskandar Abdul Samad serta barisan kepemimpinan tertinggi UMNO.

Parlimen Cameron Highlands mencatatkan jumlah pengundi seramai 32,048 dengan Melayu sebanyak 34.24 peratus; Cina (32.29 peratus); India (12.48 peratus) dan lain-lain 20.98 peratus. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.