Hidupkan Kembali Projek Bina Jalan Pos Betau-Pos Lenjang

KUANTAN 3 Jan. – Kerajaan Pakatan harapan (PH) diminta melaksanakan kembali projek pembinaan Jalan Pos Betau-Pos Lenjang di Cameron Highlands, dekat sini yang diluluskan oleh kerajaan terdahulu demi manfaat penduduk khususnya kira-kira 4,000 masyarakat Orang Asli di situ.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek bernilai RM15 juta itu diluluskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Cameron Highlands pada Ogos 2016 selain dua lagi projek iaitu membaik pulih masjid di Kampung Tanjung Gahai (RM200,000) dan pembinaan gerai di Tanah Rata (RM5 juta).

Katanya, beliau selaku Ketua UMNO Bahagian Cameron Highlands mengemukakan permintaan supaya kerajaan Persekutuan yang ditunjangi Barisan Nasional (BN) ketika itu meluluskan peruntukan bagi pembinaan jalan tersebut sebagai agenda berterusan untuk membangunkan penempatan masyarakat Orang Asli.

“Bagaimanapun, apabila PH mengambil alih tampuk pentadbiran negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU Ke-14), projek pembinaan jalan sepanjang 30 kilometer ini dihentikan.

“Saya berharap projek jalan ini dapat dihidupkan kembali yang manfaatnya pasti dirasai oleh kira-kira 4,000 Orang Asli di kawasan tanah tinggi itu,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebook beliau hari ini.

Kenyataan itu sebagai respons kepada tweet Penasihat DAP, Lim Kit Siang kelmarin bahawa kerajaan Persekutuan pimpinan BN sebelum ini tidak berbuat yang sepatutnya demi memajukan masyarakat Orang Asli di Cameron Highlands.

Dakwaan pemimpin PH itu dibuat setelah dikatakan terperangkap semalaman di sebuah perkampungan Orang Asli terpencil di Kampung Semoi Lama ekoran jalan keluar yang becak sehingga tidak dapat dilalui.

Menurut Wan Rosdy, perkara berhubung membangunkan masyarakat Orang Asli sepatutnya dilihat dalam gambaran lebih besar iaitu tentang kemajuan secara menyeluruh yang dibawa oleh Kerajaan BN dan dinikmati oleh rakyat khususnya masyarakat berkenaan di tanah tinggi itu selama ini.

“Tentunya banyak yang telah dilakukan tetapi kita juga akui banyak lagi yang perlu dilaksanakan demi membangunkan kawasan-kawasan pertempatan Orang Asli bukan sahaja di sana malah di seluruh negeri,” katanya. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.