2019: Ekonomi Negara Semakin Merudum, Hubungan Kaum Semakin Merekah?

SAYA pernah menyarankan baru-baru ini bahawa jika kerajaan serius untuk menangani masalah diskriminasi atau perkauman, maka kerajaan perlu memberi penekanan kepada masalah ini di sektor swasta atau sektor bukan kerajaan kerana 80% daripada ekonomi dan 90% daripada jumlah pekerjaan adalah di sektor ini.

Kebanyakan diskriminasi negatif berlaku di sektor bukan kerajaan namun dasar-dasar, undang-undang atau penguatkuasaan adalah sangat kurang atau lemah di sini.

Apabila Kerajaan mencadangkan untuk meratifikasikan ICERD bulan lalu, mereka sibuk membincangkan untuk membaraikan dasar diskriminasi positif seperti hak orang-orang Melayu dalam Perlembagaan dan dasar-dasar ekonomi Bumiputera dalam sektor kerajaan.

Dasar-dasar ini telah digubal selepas tahun 1969 untuk melindungi orang-orang Melayu dari diskriminasi yang berlaku dalam masyarakat dan sektor bukan kerajaan yang kemuncak kesannya dimanifestasi dalam rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

Dan dasar-dasar ini adalah dasar korektif atau langkah pembetulan yang dilaksanakan melalui sektor kerajaan untuk menangani masalah diskriminasi teruk yang berlaku dalam sektor bukan kerajaan.

Namun sektor kerajaan hanyalah 20% daripada ekonomi negara. Dan walaupun dasar korektif di atas dilaksanakan selama hampir 50 tahun sehingga Mei 2018 yang lepas, ekuiti Bumiputera masih di bawah paras 20% (atau 18% secara tepatnya).

Ini adalah kerana kita masih ada ‘atap siling kaca’ (atau ‘glass ceiling’) di paras 20% yang masih tidak boleh dipecahkan yang menghalang pemilikan ekuiti Bumiputera daripada meningkat. Sebab utamanya ialah masalah diskriminasi di sektor bukan kerajaan yang masih berleluasa.

Tanpa dasar korektif dan diskriminasi positif untuk Bumiputera seperti di atas seperti yang ingin dibaraikan oleh ICERD, keadaan ini akan menjadi lebih teruk dan ekuiti Bumiputera akan menjunam.

Apabila ini berlaku, negara kita tidak akan stabil dan besar kemungkinan banyak lagi rusuhan kaum akan terjadi.

Dalam sejarah dunia dan juga di Malaysia, ada dua perkara yang apabila kedua-duanya berlaku serentak akan menyebabkan rusuhan kaum yang dahsyat.

Pertama ialah apabila keadaan ekonomi negara merudum dan ramai orang kehilangan pekerjaan.

Dan kedua ialah apabila hubungan antara kaum semakin merekah.

Saya lihat kedua-dua perkara ini sedang mula berputik sekarang dengan keadaan ekonomi semakin ranap di tangan Menteri Kewangan dan keadaan hubungan kaum yang kian tegang di tangan Menteri Perpaduan Kerajaan PH ini.

Sebab itu kedua-dua mereka ini perlu meletak jawatan atau dipecat sebelum keadaan menjadi lebih parah.

Ini perlu ditangani segera. Ini bulan soal politik, namun ianya juga melibatkan keselamatan negara. Ini adalah suatu perkara yang serius.

Kita tidak mahu rusuhan kaum tahun 1969 berlaku kembali pada ulang-tahun ke-50 tragedi tersebut dalam tahun 2019 ini.

ISHAM JALIL

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.