Zahid Tegaskan Tidak Tunduk Desakan Dan UMNO Tidak Akan Bekerjasama Dengan Dap

KUALA LUMPUR, 15 Dis – Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, UMNO menolak kerjasama dengan Dap dan tidak akan berkompromi dengan agenda yang meminggirkan Islam dan Melayu dilakukan secara halus atau terang-terangan.

Justeru jelas beliau, ahli-ahli UMNO di semua peringkat hendaklah merapatkan saf dan mengenepikan sebarang perbezaan pendapat dan pendirian demi penyatuan UMNO untuk melunaskan tanggungjawab kepada agama, bangsa dan tanahair.

“UMNO juga akan bekerjasama dengan Pas untuk terus menterjemahkan agenda Islam dan Melayu serta menghormati kepelbagaian agama dan kaum di negara ini.

“Saya yakin masih ramai yang mahu terus bersama UMNO biar pun UMNO sebagai parti pembangkang malah sokongan kian bertambah agar UMNO semakin perkasa,” ujar beliau dalam satu kenyataan media.

Zahid turut menegaskan tidak akan tunduk kepada desakan segelintir orang yang mahu beliau mengundurkan diri.

Jelasnya, beliau hanya akan patuh kepada peraturan dan perlembagaan UMNO yang menentukan, jika dua per tiga perwakilan dalam Perhimpunan Agung UMNO Khas menentukan untuknya mengundurkan diri.

“Saya juga akur dengan permintaan ahli-ahli akar umbi yang mahu agar UMNO terus dimantapkan dan mendokong UMNO semula selepas PRU-14,” jelas beliau lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.