Kebajikan Rakyat PH Kira Untung Rugi? Tutuplah, Tutup Semua Klinik 1Malaysia….


KUALA LUMPUR, 14 Dis – Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak secara sinis mencadangkan kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) agar menutup semua perkhidmatan yang berasaskan kebajikan jika masih mengutamakan perkiraan untung dan rugi.

“Siapa pernah pergi Klinik 1Malaysia? Kerajaan sekarang nak tutup Klinik 1Malaysia. Katanya sebab tidak kos efektif. Maknanya kerajaan rugi sebab Klinik 1Malaysia. Boleh terima alasan ini?

“Mereka ingat ini bisnes atau apa? Kalau macam ini, saya amat risau dengan klinik bergerak, balai polis, balai bomba, lampu jalan dan perkhidmatan kerajaan lain terutamanya di kawasan pedalaman.

“Semuanya tidak kos efektif. Buat apa kita nak buka lagi? Tutup sajalah semuanya. Perkhidmatan kerajaan untuk rakyat tidak sepatutnya mengambil kira untung rugi. Kita fikirkan kebajikan dan keperluan rakyat,” katanya dalam catatan di Facebooknya.

Kelmarin, di Dewan Negara, Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye berkata kerajaan berhasrat menutup sebanyak 34 buah Klinik 1Malaysia atau nama baharunya Klinik Komuniti kerana masalah kos tidak efektif.

Menurut Najib, di seluruh negara terdapat kira-kira 246 Klinik 1Malaysia di mana hampir setiap bandar dan pekan wujud perkhidmatan kesihatan RM1 tersebut.

“Dari semasa ke semasa, saya tambahkan dan buka lebih banyak. Kalau dulu rakyat perlu berjalan jauh sampai ke klinik kesihatan atau hospital awam untuk dapatkan rawatan. Dengan Klinik 1Malaysia, kita bawa perkhidmatan yang asas lebih dekat kepada perumahan rakyat.

“Saya juga mempertimbangkan kos sara hidup rakyat pada masa itu dan tidak mahu rakyat terbeban dengan kos perubatan sektor swasta hanya untuk rawatan asas, ada yang mencecah hampir RM100. Salahkah apa yang saya buat dulu?,” soalnya lagi.

Bidas Najib, sepatutnya kerajaan hari ini mampu buat lebih banyak kebajikan berbanding di zaman pentadbirannya kerana mereka sudah menjarah berpuluh bilion dari rizab Petronas.

“Malah ada yang dengan bangganya umumkan bahawa peruntukan RM29 bilion dalam Belanjawan 2019 adalah yang tertinggi pernah diterima Kementerian Kesihatan sepanjang sejarah belanjawan negara.

“Mengapa ini berlaku? Tutuplah. Tutup semua,” sinisnya. – Media UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.