Ahli Akar Umbi Tetap Utuh Walaupun Pemimpin Keluar Parti – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 14 Dis – Ahli-ahli UMNO di pelbagai peringkat diseru agar tidak terlalu panik terhadap apa yang berlaku kepada situasi politik terkini yang melanda parti kerana ia bersifat sementara, ujar Presidennya Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamid.

Dalam ciapan di twitternya @presidenumnoazh, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menjelaskan apa yang terjadi kepada parti kini adalah berkemungkinan harga yang perlu dibayar kerana perjuangan UMNO jelas untuk memartabatkan agama dan bangsa.

“Ahli-ahli UMNO tidak perlu panik. Ini mungkin harga yang terpaksa kita bayar, bila kita ingin kembali kepada perjuangan UMNO yang sebenarnya untuk martabatkan agama dan bangsa,” katanya.

Justeru itu, Ahmad Zahid juga percaya tindakan beberapa Ahli Parlimen bertindak keluar parti tidak menjejaskan sokongan di akar umbi.

“Biarpun terdapat yang tinggalkan UMNO, kita percaya ianya tidak menjejaskan dokongan akar umbi. Ini bersifat sementara,” tegasnya.

Hari ini beberapa Ahli Parlimen UMNO mengumumkan keluar parti dan menjadi bebas antaranya seperti Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz dan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Abdul Wahid.

Turut tular di media sosial beberapa nama juga mengambil tindakan yang sama seperti Ahli Parlimen Larut, Datuk Hamzah Zainuddin, Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahya, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (Mersing) dan Datuk Mohd Fasiah Mohd Faked (Sabak Bernam).

Kelmarin, ramai pemimpin parti dari Sabah termasuk Pengerusi Badan Perhubungan, Datuk Hajiji Mohd Noor dan Bahagian serta beberapa ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengisytiharkan keluar UMNO serta dilaporkan menyokong kerajaan Pakatan Harapan (PH). – Media UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.